Sunday 11 December 2011

Cerita 3

Aku mendapat jiran baru. Sebuah keluarga yang sederhana. Aku tertarik dengan keluarga ini. Semenjak mereka pindah, rumah yang sebelum ini sunyi menjadi sangat meriah. Di awal pagi lagi, aku sudah terdengar suara orang berselawat, mengaji. Setiap kali waktu sembahyang pasti terdengar laungan azan. Suasana itu sangat harmoni dan aman. Mendamaikan hati sesiapa sahaja.
   “Umi, Alya nak pergi sekolah.”
   “Belajar sungguh-sungguh. Hormati guru kita, kalau tidak ilmu tak berkat.”
   “Alya pergi dulu ye.” Setelah bersalaman, anak gadis sopan bertudung dan berseragam sekolah itu berlalu keluar dari rumah. Pagi itu aku berhajat menziarahi jiran baruku ini. Ada sedikit buah tangan yang aku bawa bersama.
   “Umi, ada orang datang.”
   “Jemputlah dia masuk.” Aku disambut anak kecilnya yang comel. Tanpa segan silu dia menghulurkan tangan dan bersalam denganku. Anak kecil itu mengukir senyuman mesra.
   “Jomlah masuk kakak.” Aku sangat terhibur dengan telatahnya. Aku masuk ke ruang tamu. Kelihatan Puan Aisyah bangun menghampiriku dengan senyuman.
   “Saya tinggal di rumah sebelah ni, hari ni baru ada peluang nak ziarah.”
   “Oh, jemputlah duduk.”
   “Ni ha, mak saya ada buat kuih sikit.” Aku menghulurkan kiuh karipap yang ibuku buat semalam. Puan Aisyah menyambut.
   “Terima kasih, susah-susah je. Mak cik ke dapur sekejap ye. Duduklah sembang dengan Intan tu. Seronok dia ada orang datang.” Puan Aisyah berlalu ke dapur. Aku menoleh ke arah Intan yang sedang tersenyum-senyum manis.
   “Kakak, nama kakak apa?”
   “Nama akak Laila. Intan berapa tahun?”
   “Enam tahun, Intan pergi tadika tapi hari ini umi kata tak payah lagi sebab tak daftar lagi kat tadika yang baru.” Petah sungguh anak kecil ini bercakap. Aku seronok berbual dengannya.
   “Kak Laila, umi kata umi sayang Intan tapi Tuhan lagi sayang Intan. Betul ke?” Aku tergamam mendengar soalannya. Aku sekadar menggangguk dan tersenyum. Malu rasanya berbual dengan Intan yang pandai berkata-kata. Butir-butir bicaranya lebih cantik dari aku. Tidak lama kemudian Puan Aisyah datang membawa dulang yang berisi jag air dan kuih yang aku beri tadi.
   “Nak makan.” Intan menerpa ke arah meja kecil yang diletakkan dulang itu.
   “Basuh tangan dulu, Tuhan kan suka orang yang bersih.” Puan Aisyah menghulurkan mangkuk berisi air paip untuk membasuh tangan.
   “Baiklah ibu.” Intan mencelup tangannya berhati-hati.
   “Baiknya Tuhan bagi kita makan.” Ucap mulut kecil itu. Kemudian dia segera menadah tangan untuk membaca doa. Aku mula tertarik dengan keluarga ini. Banyak yang perlu aku cungkil dari Puan Aisyah. Anak-anaknya sangat terdidik. Mereka diajar membesarkan Tuhan dalam semua perkara. Apa rahsia Puan Aisyah agaknya?

No comments:

Post a Comment