Friday 2 December 2011

Cerita 2

Petang itu sedang duduk berehat aku mencapai surat khabar di atas meja yang dibeli pagi tadi. Baru sekarang ada masa hendak membaca. Aku menelek satu persatu halaman kertas itu. Di ruangan ‘Keluarga’ aku tertarik dengan satu tajuk berita ‘Rumahku Syurgaku’. Ia menceritakan kisah sebuah keluarga yang sangat berjaya. Semua ahli keluarganya berpangkat besar. Sebaik membaca nama-nama ahli keluarga mereka, aku terkejut. Tidak sangka itu adalah keluarga kawan kakak aku. Ketika sekolah dahulu aku agak mesra dengan Kak Siti. Alangkah baiknya jika aku dapat menziarahi mereka. Boleh menjalinkan sialturrahim dikalangan umat Islam.
   “Assalamualaikum.”
   “Waalaikumsalam...eh, awak ni...Laila kan?”
   “Ye, saya datang nak ziarah. Saja nak jumpa Kak Siti.”
   “Masuklah, mak Kak Siti ada kat dalam tu. Ayah Kak Siti dah keluar pergi kerja.” Setelah bersalaman dengan Puan Suria. Aku duduk di ruang tamu rumah itu. Berbual bersama mereka. Suasana di dalam rumah itu nampak tenang. Agak besar dan mewah. Cantik dengan perhiasan yang unik dan mahal-mahal bergantungan. Aku mula bertanya perihal keluarga mereka yang dikenali ramai. Bersemangat Kak Siti bercerita tentang kejayaan mereka sekeluarga. Ada yang bekerja sebagai seorang arkitek, doktor, ada yang sudah sampai ke angkasa lepas. Kak Siti pun sudah mendapat peluang menjadi pensyarah di Universiti terkenal. Puan Suria tersenyum bangga. Tiba-tiba seorang pemuda berkemeja kemas meluru keluar denga tergesa-gesa.
   “Hah, Rahman. Mak tunggu kau, nak minta tolong sikit ni.” Puan Suria mendapatkan anak ketiganya itu.
   “Aman sibuklah mak, patient dah tunggu.” Pemuda itu terus berlalu tanpa mempedulikan Puan Suria. Puan Suria mengeluh sambil berjalan masuk ke dalam.
   “Susah betul nak minta tolong budak ni, lebih penting klinik dia dari kita.”
   “Biasalah tu, malas nak tolong orang.” Marah Kak Siti. Aku terkejut melihat peristiwa itu. Alamak! Perut aku mula bergelodak.
   “Kak Siti, boleh tumpang tandas?”
   “Boleh, awak jalan terus dan kiri tu ada tandas.”
   “Terima kasih.” Aku berlalu. Sambil itu aku memerhati kawasan sekeliling. Banyak trofi-trofi dan gambar yang tergantung di dinding. Selesai menunaikan hajat. Aku keluar dan terpaksa membasuh kaki menggunakan gayung di depan pintu kerana di dalam bilik air itu tidak ada selipar.
   “Mas, bangun Mas. Dah lewat ni, Mas kan nak pergi kerja. Mak nak minta tolong sikit.” Kedengaran suara Puan Suria mengejutkan anaknya.
   “Mak ni, hari ni Mas cutilah, orang nak rehat sekejap pun tak boleh. Kacaulah.” Hatiku tertanya-tanya. Dimanakah syurga yang dikatakan itu?

No comments:

Post a Comment