Tuesday 10 January 2012

Epilog Hati Seorang Wanita

Aku menghantar suamiku pergi sehingga kereta yang dinaikinya hilang dari pandangan mataku. Dia pergi lagi. Untuk berapa lama, aku sendiri tidak pasti. Kepulangannya semalam juga tidak ku jangkakan. Tiada angin, tiada ribut, dia muncul di depan pintu takkala mentari hampir beradu. Kemunculannya bersama seulas senyuman walau dapat kulihat raut keletihan pada wajahnya. Sepasang mata disebalik kaca mata itu jelas kemerahan. Mungkin senyuman itu buat memujuk hatiku yang hampir dingin dibalut kesepian saban malam menanti kepulangannya. Ah! Tidakkah dia tahu, hanya melihat wajahnya sahaja hatiku jadi luluh. Mendengar suaranya sahaja rajukku terbang menjauh. Yang tersisa cuma egoku yang tidak mahu dilihat dengan pandangan simpati. Aku bukan wanita yang hanya menyandar perasaan pada seorang lelaki. Aku tidak suka dikasihani, dipandang seperti manusia lemah!

Tapi egoku tetap tidak terlawan egonya. Sehingga saat kepergiannya tadi, tidak terkeluar dari mulutnya tentang kehilangannya selama sebulan tanpa khabar buatku. Aku juga seperti tiada keinginan untuk bertanya. Mungkin kerana kehilangan seperti ini sudah sering terjadi. Sudah lali. Walau jauh di sudut hati, luka ini tidak mampu ku sembuhkan lagi.

.....................................................................................

"Tit, tit!"
'sibuk ke?'
Reply
'boleh tahan...'
"Tit,tit!"
'blik jam brapa?'
Reply
'mcm biase'
"Tit,tit!"
'jam brapa?'
Reply
'5 ptg'
"Tit,tit!"
'bleh fetch abg di KLCC?kreta rosak tghr td..'
Reply
'Roger'

.....................................................................................

"Sorry lambat sikit, jammed kat depan office tadi." tangannya ku sambut seperti selalu. Jam di dashboard kereta menunjukkan jam 6.30 petang.

Sekilas ku tatap wajah yang menjadi kerinduanku saban waktu. Wajahnya yang berkulit cerah itu tampak kemerahan. Mungkin akibat panahan matahari yang agak terik sejak kebelakangan ini. Selanjur, terbit rasa bersalah di hatiku membiar dia menunggu lama sebentar tadi.

"Lama ke abang tunggu Sha?"

"Dari pukul5 tadi." aku terdiam mengulum rasa bersalah tidak bertepi. Lebih sejam dia menunggu.

"Abang nak Sha hantar ke rumah ke?" soalku berhati-hati. Ngilu yang terasa ku simpan jauh-jauh didasar hati.

"Kita balik ke Denai Putri saja lah. Esok Sha hantar abang ke bengkel biasa tu nak ambil kereta,ya?"

Permintaannya ku jawab dengan anggukan. Terus ku menukar hala pemanduanku.

"Sha, malam ni boleh masakkan abang makaroni goreng? Lama abang tak rasa makaroni Sha. Rindu..." senyuman manis menghiasi bibirnya.

'Sha juga rindu....' bisik hatiku. Hanya anggukkan bersama segaris senyuman yang mampu kuluahkan. Melihat kebisuanku, perlahan tangan kiriku diraih dan dibawa kebibirnya. Kehangatan kucupannya terasa meresap ke setiap urat sarafku. Perlahan ku fahami maksud yang cuba disampaikannya. Tanpa sedar, setitis air mata mengalir di tubir mataku. Segera ku berpaling mengharap dia tidak menyedarinya.

"Abang minta maaf..." hampir tidak terdengar suara itu dipendengaranku. Seraya, aku menggeleng laju.

"Tak perlu minta maaf. Sha faham..."

"Tak. Ada perkara yang Sha tak kan faham."

"Jadi abang tolong fahamkan Sha, boleh?" pertanyaanku disambut bisu. Aku mengeluh perlahan.

Dia membuang pandangan keluar tingkap. Sukar ku telah apa yang berada di fikirannya. Memang lelaki adalah makhluk yang paling susah untuk difahami. Untuk apa dia meminta maaf padaku andai sebabnya aku sendiri tidak tahu?

......................................................................................

Aku tak pernah lupa setiap kata-katanya yang sangat memberi bekas di hatiku.Pesanannya, ingatannya, sindirannya, malah amarahnya ku simpan kejap di ingatanku. Kerap kali ku raih dan ulang tayang di dalam kepalaku apabila keadaan seperti hampir berlaku yang sebaliknya.

"Walau siapa pun Kak Suri, dia tetap isteri abang. Sha perlu hormat pada dia. Cuma kadang-kadang sebagai manusia dia berbuat silap. Sha juga tak terlepas dari tersalah kan..? Abang perlu jaga hati dia kerana pengorbanan dia untuk abang terlalu besar. Abang harap Sha faham..."

Aku faham. Dan aku sedar mana letaknya aku di hati dia. Cuma jangan berjanji sekadar untuk dimungkiri. Aku tak pernah meminta lebih dari yang selayaknya buat isteri kedua seperti aku. Atau lebih tepat lagi isteri rahsia. Malah, sejak dari mula aku telah menetapkan bahawa aku tak akan meminta apa-apa pun dari dia selain apa yang dia hendak berikan padaku. Apa yang menjadi haknya bukanlah hak aku untuk mempersoalkannya.

"Pernikahan ini bukan lah atas kehendak abang, tapi abang terima sebagai amanah. Setulus hati abang sayangkan Sha, kerana Sha sudah menjadi isteri abang. Tanggungjawab abang. Jadi tolong permudahkan ia untuk abang. Itu pun kalau Sha juga sayangkan abang..."

Ia juga bukan kehendakku. Tapi aku rela bahkan berterima kasih padanya atas kesudiannya memenuhi amanah ini. Amanah seorang ayah. Tanpa ayah, dan juga tanpa dia, pasti aku menjadi insan sebatang kara yang memperjudikan hidup menjadi hamba manusia. Terima kasih kerana menyelamatkan aku dari dunia tanpa harapan itu. Walau kadang kala aku rasa seperti kelemasan dalam dunia ciptaannya tapi aku sedar yang aku masih dapat berpaut pada tangannya.

Cuma... Ah! Hati ini tidak pernah berhenti mengharap biar sekali pun aku diletakkan pada tempat yang selayaknya di hati lelaki itu. Agar walau sejauh mana dia pergi, masih tetap aku yang berdiri dibelakangnya tak kala pandangan itu jatuh mencari pemangkin. Salahkah rasa ini? Tamakkah aku?

Memang aku tidak mampu menjadi seperti itu. Aku bukan sempurna yang dapat menyempurnakan dia. Dia tidak hanya memerlukan aku dalam hidup ini. Atau mungkin dia tidak perlukan aku langsung. Tanpa aku, hidupnya sudah sempurna. Langsung, apa perlunya aku hadir? Berdosakah aku mempersoalkan ketentuan Yang Esa keatas diriku? Sedangkan aku belum dapat mencari hikmahnya aku berdiri disini.

Apa yang membuat aku tetap teguh walau menjauh, hanya kerana ayah. Ayah yang segala-galanya buat yatim sepertiku. Tanpa ayah, aku tak mungkin berada di sini. Hingga ke hujung dunia akan ku hindari. Ayah yang memberi kekuatan buatku meniti hari-hari sepi mencari secebis hikmah rahsia disebalik suratan ini...

Bersambung............

No comments:

Post a Comment